Monday, April 6, 2009

Mampukah Politik Wang Dibanteras?

1. Istilah Politik Wang

1.1 Politik wang ialah satu istilah menggambarkan perbuatan mengunakan wang tunai untuk mempengaruhi seseorang ahli atau perwakilan atau pengundi bagi meraih sokongan dan akhirnya mengundi, seterusnya memenangkan seseorang calon yang bertanding merebut jawatan yang dipertandingkan. Ini juga termasuk pemberian pelbagai bentuk hadiah, yang sekecil-kecilnya seperti kain pelikat sehinggalah penganugerahan tender atau kontrak tertentu.

2. Bagaimana boleh wujud politik wang

2.1 Perkara seumpama ini tidak dapat dielakkan, jika lahirnya ahli-ahli politik yang mengamalkan akhlak dan amalan-amalan buruk dalam berpolitik. Politik wang atau rasuah wang berleluasa akibat tamak dan gilakan kuasa. Tambahan pula, unsur-unsur negatif dan permainan politik yang ‘kotor’ seperti ugutan, paksaan dan fitnah politik berkembang, maka gejala sogokan mula berlaku beriringan.

2.2 Punca yang menonjol ialah akibat kemewahan dan kemakmuran yang akan dinikmati oleh pemenang di dalam sesuatu pertandingan jawatan atau di dalam pilihanraya, maka ahli-ahli politik berlumba-lumba berebut jawatan untuk mencapai impian tersebut. Jawatan yang disandang tentunya mencapai hasrat kesenangan hidup dan kedudukan atau status tinggi di dalam masyarakat. Matlamat berpolitik bukannya memperjuangkan kesejahteraan rakyat, namun kepentingan peribadi (personal interests) sudah menjadi agenda utama.


2.3 Matlamat tidak menghalalkan cara dan fahaman sekular yang dianuti tentunya, tidak memikirkan persoalan dosa dan pahala mengakibatkan kempen pelbagai teknik dan tektik yang tidak bersesuaian dengan akhlak dan nilai hidup dipinggirkan dan diketepikan buat sementara.

3. Sejarah Politik Wang

3.1 Di peringkat awal, di dalam politik UMNO, pelbagai kaedah untuk memenangi pelbagai jawatan di cawangan atau bahagian dan Majlis Tertinggi. Amalan awal tidak menampakkan wang dihulurkan. Pujukan atau rayuan adalah dalam bentuk yang tidak secara langsung seperti pakej lawatan melancong ke tempat-tempat menarik seperti ke Medan, Bangkok, Jakarta atau mengerjakan haji atau umrah dan beberapa hadiah cenderamata tertentu. Lama kelamaan pujukan sudah menjadi sogokan dengan sejumlah “transaction demand for money, and done openly”.

3.2 Rahim Tamby Chik pernah menyebutkan sejarah politik wang dalam UMNO bermula pada tahun 1980an, dilakukan oleh Anwar Ibrahim, bermaksud berlaku era beliau di dalam UMNO. Akhirnya, budaya politik wang itu berkembang subur dan menjadi barah yang semakin mencengkam parti UMNO.

3.3 Daim Zainuddin turut menyebutkan bahawa rasuah politik berlaku akibat persaingan terlalu sengit semasa pemilihan Presiden UMNO pada 24 April, 1987, di antara Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang menentang Dr. Mahathir Mohamad. Daim tampil membantu dan membiayai kempen-kempen Dr. Mahathir pada saat-saat akhir. Akhirnya, Dr. Mahathir memenangi jawatan Presiden UMNO dengan memperolehi majoriti tipis 43 undi iaitu Dr. Mahathir memperolehi 761 undi dan Ku Li memperolehi 718.

4. Apakah hukuman ketika ini memadai?

4.1 Setakat ini, hukuman berpilih-pilih atau berbeza-beza. Keputusan Lembaga Disiplin tidak konsisten, akauntabiliti, dan integriti dari aspek hukuman. Mereka yang turut didakwa oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) pula boleh bertanding, selagi belum didapati bersalah.

5. Apakah bentuk hukuman/undang-undang setimpal kepada “pesalah”?

5.1 Ini merupakan satu aktiviti jenayah yang menjijikan. Mereka yang didapati bersalah dan disabitkan melanggar peraturan parti dan digantung keahlian wajib meletakkan jawatan sebagai Menteri ataupun apa jua jawatan politik dan kerajaan yang disandang kerana dianggap mencemar dan suatu skandal memalukan. Contoh di dalam negara sebelum ini, boleh dijadikan pengajaran bahkan peristiwa skandal yang berlaku di negara-negara lain mampu menjadi ikhtibar dan teladan. Saya ingin tegaskan dan pertahankan di sini ialah maruah diri dan negara mesti dijaga.

5.2 SPRM wajib menjalankan penyiasatan dan pendakwaan serentak ke atas semua calon dan wakil calon yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin, dihukum sekeras-kerasnya. Hukuman penjara hendaklah dikenakan. Mereka turut dilarang bertanding sama sekali. Pemilikan “harta”, akaun dan syer dirampas atau dibekukan dan ditahan passport antarabangsa untuk tempoh tertentu. Pada mereka yang menerima suapan sukarela wajar digantung keahlian, buat seketika dan jika didapati berulang, tindakan pemecatan dan larangan bertanding di peringkat parti atau pilihanraya adalah dilarang keras dan terbatal.

6. Implikasi jangka panjang suasana politik negara jika tidak dibanteras

6.1 Akan terjadi kemusnahan di dalam pentadbiran dan sistem kerajaan. Aktiviti rasuah akan menjalar ke seluruh lapisan atau peringkat jabatan dan institusi. Sejarah membuktikan, kerajaan yang kuat seperti empayar Umayyah, Abbasiyah dan Uthmaniyah akhirnya tumbang angkara perbuatan yang keji termasuklah isu “politik habuan” tersebut.

6.2 Persepsi rakyat terhadap aspek kepimpinaan yang dicemari dengan aktiviti kotor dan berpura-pura, akhirnya rakyat tidak bebas untuk menyumbang di dalam pemilihan kepimpinan secara jujur dan beramanah. Rakyat mempunyai persepsi negatif terhadap politik. Politik berterusan dan tetap dianggap “kotor” dan menjijikan.

6.3 Akan wujud kelompok negarawan Negara yang dilahirkan melalui aktiviti rasuah. Maka tercetuslah istilah “tokoh negarawan elit dan bapa rasuah”.

7. Kesan kepada Negara di mata Dunia

7.1 Malaysia tidak akan dihormati sebagai negara yang bersih daripada gejala rasuah. Nanti akan wujud gambaran, semua urusan untuk mudah mestilah dengan cara menrasuah pegawai tertentu. 

7.2 Menurut Transparency International, dalam senarai indeks terbaru rasuah, kedudukan Malaysia merudum ke tangga 47 dari 180 buah negara setelah berada pada tangga ke 43 pada tahun 2007. Politik wang memungkinkan memburukkan keadaan ini.

7.3 Malaysia dianggap mempunyai “a lower quality of politicians and lower standards of political behaviour”.

7.4 I think, Malaysia has more chances of becoming a first hopeless country in the world.

8. Cara-cara Mengatasi Politik Wang di dalam Negara

8.1 Kesedaran ahli politik untuk berjuang secara ikhlas, jujur, tegas dan bersih. Adakah kepimpinan tertinggi UMNO mempunai komitmen dan iltizam politik (political will) untuk mengatasi dan menyelesaikan permasalahan ini sehingga ke akar umbi?

8.2 Kesedaran ahli parti dan orang ramai (rakyat) tidak bersetuju serta menolak sejauh-jauhnya gejala tersebut.

8.3 Hukuman yang setimpal dan seadil-adilnya dilaksanakan

9. Kesimpulan dan cadangan

9.1 Kajian-kajian ilmiah oleh pensyarah-pensyarah sains politik hendaklah dilakukan, diterbitkan dan dibukukan untuk generasi akan datang, melihat isu ini untuk bahan perbincangan dan kesedaran politik sebenar. Kita perlu mengetahui siapa watak awal pencetus politik wang. Dakwaan melulu tidak bersifat ilmiah. Kita tidak mahu melihat sesuatu yang berlaku sebagai satu proses ‘episode’ atau cerita ‘sensational’ sahaja. Pembangunan sebuah negara memerlukan pemimpin dan kepimpinan yang bersih, sihat, matang, cerdik, berkebolehan, berkemampuan dan berkredibiliti dalam mengurus negara dan memberi kesejahteraan kepada rakyat. We elect politicians and political parties expecting them to act in the public interest rather than their own goals.

9.2 Realitinya, politik wang mestilah dibanteras dan diperangi habis-habisan dalam apa jua bentuk seperti yang aku sarankan di perkara 5.

9.3 Di universiti, perbincangan politik hendaklah dilakukan secara terbuka dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971) yang membendung dan mengongkong aktiviti pelajar dan pensyarah di semua peringkat pengajian tinggi hendaklah dimansuhkan serta merta. Saya sendiri tidak faham, apakah dengan cara mengawal semua pergerakan pelajar akan mendorong mereka menjadi kreatif, mempunyai nilai profesionalisme dan keterampilan? Mereka akan hanya larut, hanyut dan turut mengikut rentak, suasana dan terbelenggu serta terjebak dengan politik wang. Suasana yang ada tidak akan berubah.

9.4 Peranan alim ulama atau ahli agama mesti tampil dan turut berani bercakap menangani isu politik dan menyaran sesuatu yang bermakna kepada orang ramai peri pentingnya kesedaran berpolitik yang bersih dan pengurusan hal ehwal negara ditadbirkan oleh pemimpin yang bersih, ikhlas, amanah dan menurut pandangan agama.

Admin : Artikel ini ditulis oleh Pengarah MTD Jeram, Hj Razali Tumirin.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Jadilah Insan Celik Politik

Jadilah Insan Celik Politik

Hidup Untuk Bahagia Atau Untuk Celaka

Dari Abu malik al-Asy’ari katanya:”Bersabda Rasulullah s.a.w:”Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Membaca Subhanallah dan Alhamdulillah pahalanya sebesar langit dan bumi. Sembahyang itu pelita. Sedekah itu bakti. Sabar itu cahaya dan al-Quran itu akan menjadi kawan atau lawanmu. Manusia sepanjang hidupnya bekerja untuk keselamatan dirinya atau kecelakaannya.”

Motto & Slogan

Image Hosted by ImageShack.us

MalaysiaKu BERSIH

Malaysia Tanah Air Ku

Malaysia Tanah Air Ku

MALAYSIA DARUL BOGEL

MALAYSIA DARUL BOGEL

Fitnah Kerja Umno-Apco

Fitnah Kerja Umno-Apco

Soalan Simpel Jawapan Mimpel

Ketelusan SPR



Pesanan Ulama...

Rehat Kejap

Post Paling Digemari

SEMAK PENIPUAN INTERNET