KEMAMAN - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak tegas membanteras kegiatan rasuah bola sepak ke peringkat akar umbi.

Beliau berkata, perbuatan tersebut amat memalukan dan menjejas integriti sukan negara dan mereka yang terlibat tidak kira pemain mahupun pihak pengurusan wajar dikenakan tindakan untuk mengelakkan ia menjadi barah dalam sukan bola sepak.

Beliau diminta mengulas mengenai kes seorang pemain skuad Liga Perdana Perlis yang disiasat oleh SPRM kerana dipercayai terlibat mengatur perlawanan berikutan kekalahan teruk Perlis 7-2 kepada MP Muar pada 9 Januari lalu.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, "Kita kena lihat secara teliti."

"Adakah perkara (rasuah) ini berlaku disebabkan sikap tamak pemain.

"Atau disebabkan pihak pengurusan tidak membayar gaji...(atau) pun sebab sikap cemburu terhadap pemain import yang dibayar gaji lebih tinggi berbanding mereka (pemain tempatan)," katanya.

Namun Ahmad Shabery berkata, apa jua alasan yang diberikan mereka yang terlibat dalam rasuah bola sepak ini wajar dikenakan tindakan tegas, bukan sahaja diharamkan dari bermain dalam sukan itu, tetapi juga dikenakan tindakan tegas. - Bernama