Thursday, March 11, 2010

Artikel Dr Aziz Bari

Siapa pun MB tidak akan tenang


Agak ramai yang bertanya mengapa saya membuat kenyataan yang kelihatan negatif untuk Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin sehari sebelum Mahkamah Persekutuan memutuskan kes saman beliau ke atas Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada 9 Februari lalu. Dalam laporan yang disiarkan oleh sebuah portal berita itu saya dikatakan menyebut bahawa kalau Nizar menang keadaan di negeri tersebut akan terus kusut.

Portal berita tersebut tidak memutarbelitkan kenyataan saya. Malangnya ramai nampaknya salah faham. Lain yang saya maksudkan lain pula mereka tangkap, dan kebanyakannya, saya fikir, hanya mendengar cerita rakan tanpa membaca laporan portal itu sendiri. Atau setengahnya (agak saya) hanya sekadar mengetahui laporan itu dari SMS yang mereka terima.

Elok saya jelaskan apakah konteks sebenar kenyataan yang menimbulkan salah faham itu. Sebenarnya saya hendak menyatakan kalau Nizar menang pun akan timbul kelam-kabut di Perak. Ini kerana Zambry telah pun ‘meniduri’ pentadbiran negeri tersebut selama setahun dan pelbagai keputusan telah pun dibuat ahli politik UMNO yang mengetuai pentadbiran Barisan Nasional itu. Sebahagian daripada keputusan itu bertujuan membatalkan dasar dan inisiatif yang dibuat pentadbiran Pakatan Rakyat yang diketuai Nizar.

Dalam kata lain, saya hanya mengatakan sukar untuk mahkamah membuat keputusan yang memenangkan Nizar tanpa menimbulkan kesulitan dalam pentadbiran negeri. Takkan mahkamah hendak menghukum apa dilakukan Zambry sah sedangkan dia bukan Menteri Besar (MB) yang sah. Ini menyebabkan saya mengatakan kalau Nizar dimenangkan mahkamah, pentadbiran negeri itu akan kelam-kabut juga. Itu belum lagi ditambah perjanjian atau komitmen dibuat Zambry selama dia menduduki kerusi MB sejak awal Februari 2009.

Syarikat-syarikat berkenaan mungkin akan membawa Kerajaan Negeri ke mahkamah kerana bisnes mereka terjejas akibat keputusan itu. Inilah senario sukar yang berlegar dalam kepala saya ketika itu.

Apa pun ini satu contoh di mana undang-undang perlembagaan boleh memberi kesan kepada undang-undang lain, termasuk undang-undang tanah, undang-undang kontrak dan sebagainya.

Walau apa pun kesulitan yang timbul berpunca daripada tindakan mahkamah sendiri khususnya kerana mengambil masa terlalu lama untuk memutuskan siapa MB sah. Selain itu Mahkamah Rayuan juga mengusutkan keadaan kerana menggantung keputusan Mahkamah Tinggi yang menghukum bahawa Nizar adalah MB sah. Ia menyebabkan Zambry, yang kedudukannya belum tentu sah ketika itu, masuk ‘meniduri’ pentadbiran negeri. Saya fikir orang yang haknya masih belum diputuskan tidak harus dibenarkan berbuat begitu.

Selain itu dalam kes-kes seperti itu sepatutnya mahkamah mempercepatkan keputusan. Saya berani membuat syor ini kerana dalam peperiksaan saya hanya memberi tiga jam untuk pelajar saya memberi jawapan dan kebanyakannya lulus. Sebahagian daripada mereka itu malah lulus agak cemerlang. Kalau pelajar undang-undang yang baru belajar perlembagaan mampu berbuat begitu, saya fikir para hakim, yang saya anggap sudah puluhan tahun bergelumang dengan undang-undang termasuk perlembagaan, tentulah tidak menghadapi masalah untuk membuat keputusan. Lagipun peguam kedua-dua pihak telah menyediakan hujah. Kerja hakim hanya membuat keputusan berdasarkan hujah-hujah yang dibentangkan.

Sebab itu saya tidak dapat menerima mengapa mahkamah mengambil masa hampir setahun untuk memberi keputusan muktamad di Perak. Ini tentunya memberi ruang untuk rakyat membuat komen dan sangkaan tidak baik kepada hakim-hakim berkenaan. Tidak salah rakyat berbuat demikian kerana mereka yang membayar gaji hakim-hakim itu.

Apa yang saya tulis ini mungkin memberi gambaran tidak baik kepada kredibiliti dan kemampuan mereka. Tetapi, apa boleh buat dalam demokrasi, ini perlu diterima para hakim. Jika tidak masakan kita dengar keadilan sentiasa dibicarakan. Untuk makluman setakat ini belum ada hakim pencen yang saya tahu bersedia mengajar undang-undang perlembagaan bila mereka jadi pensyarah universiti selepas bersara dari badan kehakiman.

Undang-undang mengenai perlembagaan yang diputuskan dalam krisis politik Perak memang tunggang-langgang. Ini tidak jauh berbeza dari apa yang berlaku pada perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau dipecat Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998. Apa yang berlaku dalam kes Anwar beberapa bulan ini pun ada menunjukkan tanda-tanda sama.

Tetapi sebenarnya ada kes-kes lain di mana keadaan sama berlaku. Contohnya apabila polis meminta perintah mahkamah majistret untuk menghalang orang berhimpun. Saya berasa aneh dengan keputusan membenarkan permohonan itu. Saya berasa aneh kerana perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara dan di bawahnya hanya Parlimen yang diberi kuasa untuk menyekat atau menafikan hak rakyat berhimpun. Itu pun melalui undang-undang bertulis; yakni akta parlimen. Dan ini pun hanya boleh dibuat dalam perkara-perkara yang boleh disekat; sebagaimana disebut oleh peruntukan perlembagaan yang berkenaan.

Mahkamah – dari yang paling rendah hinggalah kepada paling tinggi, yakni Mahkamah Persekutuan – tidak boleh menggantung atau menafikan hak warganegara untuk berhimpun. Mahkamah hanya boleh mentafsir perlembagaan. Tetapi mahkamah tidak boleh membuat undang-undang. Hanya parlimen boleh berbuat begitu.

Kekecohan dan kesulitan di Perak itu membenarkan apa yang disebut ramai orang, termasuk Tengku Razaleigh Hamzah: mahkamah bukan medan penyelesaian untuk kemelut politik itu. Cara terbaik ialah mengembalikannya kepada rakyat, dan ini boleh dibuat. Dalam perlembagaan ada beberapa peruntukan yang boleh digunakan bagi membolehkan proses itu berlaku.

Oleh kerana pihak-pihak yang berkenaan degil maka Perak terus dilanda kecelaruan. Terbaru, Pakatan dilaporkan menyeru sultan supaya tidak memperkenan sidang Dewan. Nampaknya tidak habis-habis istana dilibatkan. Kalau Dewan dibubarkan sebagaimana dianjurkan fenomena ini tidak akan berlaku dan pihak-pihak yang sepatutnya berada di luar politik itu tidak akan tercedera sebagaimana disebut Subky Latif.


Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang selama lebih 20 tahun.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Jadilah Insan Celik Politik

Jadilah Insan Celik Politik

Hidup Untuk Bahagia Atau Untuk Celaka

Dari Abu malik al-Asy’ari katanya:”Bersabda Rasulullah s.a.w:”Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Membaca Subhanallah dan Alhamdulillah pahalanya sebesar langit dan bumi. Sembahyang itu pelita. Sedekah itu bakti. Sabar itu cahaya dan al-Quran itu akan menjadi kawan atau lawanmu. Manusia sepanjang hidupnya bekerja untuk keselamatan dirinya atau kecelakaannya.”

Motto & Slogan

Image Hosted by ImageShack.us

MalaysiaKu BERSIH

There was an error in this gadget

Malaysia Tanah Air Ku

Malaysia Tanah Air Ku

MALAYSIA DARUL BOGEL

MALAYSIA DARUL BOGEL

Fitnah Kerja Umno-Apco

Fitnah Kerja Umno-Apco

Soalan Simpel Jawapan Mimpel

Ketelusan SPR



Pesanan Ulama...

Rehat Kejap

Post Paling Digemari

SEMAK PENIPUAN INTERNET