PKR hari mendesak kerajaan supaya membekukan aset projek ternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) berikutan pendedahan bahawa ia akan mengadakan mesyuarat agung tergempar dan mesyuarat dengan lembaga pengarahnya.
Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli (kiri) berkata pembekuan aset itu penting bagi memastikan NFC tidak melakukan penstrukturan semula dan akan membantutkan siasatan polis.
Katanya, amat mencurigakan apabila EGM yang dirancang minggu ini dengan hanya tiga hari notis diberikan.
Lazimnya, menurut beliau, tempoh lebih lama diperuntukkan untuk mengadakan EGM tetapi dengan notis tiga hari ini menunjukkan ada sesuatu yang cuba disembunyikan.
“Berdasarkan maklumat dalaman, saya dimaklumkan bahawa pengurusan NFC telah memanggil satu mesyuarat Lembaga Pengarah NFC dan Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) minggu ini dengan hanya memberikan tempoh 3 hari untuk membuat beberapa keputusan penting.
“Di antara agenda yang akan dibincangkan termasuklah membuat keputusan mengenai cadangan pengambilalihan National Meat & Livestock Corporation (NMLC) yang dimiliki oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil oleh NFC.
“Saya percaya tindakan tergesa-gesa memanggil mesyuarat Lembaga Pengarah NFC dan EGM dalam tempoh yang singkat ini berniat tidak baik dan akan mengganggu siasatan
terhadap NFC yang sedang berjalan," katanya.
Justeru, Rafizi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan tidak lagi sepatutnya membisu.
Sebaliknya, beliau perlu campur tangan segera dengan membekukan sebarang aktiviti an keputusan di dalam semua syarikat-syarikat yang pernah menggunakan dana RM250 juta yang diberikan oleh kerajaan.
0 comments:
Post a Comment