Oleh EILEEN NG dan FLORENCE A. SAMY
PETALING JAYA: Peraturan pengasingan jantina yang melibatkan pengusaha salun rambut di Kota Baru terus memuncak apabila timbul kebimbangan pengendali mungkin akan mengalami 30 peratus kerugian jika kerajaan Kelantan enggan berganjak berhubung perkara itu.
Presiden Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India K. Kaviarasan menyifatkan perkara ini sebagai pemerintahan tidak adil dan berkata ia boleh merosakkan kehidupan tukang gunting dan pendandan rambut di negeri ini.
"Mereka ini telah menjalankan perniagaan selama bertahun-tahun tanpa ada masalah. Tiba-tiba, pihak berkuasa buat keputusan untuk mengenakan peraturan ini yang boleh disamakan seperti 'menabur pasir ke dalam periuk nasi' mereka," katanya.
Kaviarasan, tukang gunting sejak 1976 berkata terdapat ibu bapa yang membawa anak perempuan mereka berumur satu hingga 12 tahun ke kedainya yang terletak di sekitar Lembah Klang untuk menggunting rambut.
Tukang gunting India juga mencukur kepala penganut agama Hindu lelaki dan perempuan, semasa majlis agama seperti Thaipusam.
Kaviarasan berkata terdapat juga gadis yang memintanya membuat potongan rambut gaya lelaki sambil menambah urutan leher diberikan kepada pelanggan lelaki dan perempuan sebagai sebahagian daripada perkhidmatan pelanggan mereka.
Presiden Persatuan Dandanan Rambut Malaysia, Billy Lim berkata pengendali mungkin perlu menggandakan harga perkhidmatan mereka untuk menampung kerugian jika perintah diteruskan.
"Sebagai pilihan, pemilik mungkin perlu menamatkan khidmat kakitangan mereka, mengurangkan gaji atau menyuruh mereka berkerja lebih masa hanya untuk memastikan perniagaan bertahan.
Lim, yang mengendalikan Salon MTH, berkata industri ini telah berjuang untuk dilihat sebagai satu profesion yang mulia dan ketetapan sedemikian akan menjadikan industri sukar untuk berkembang maju.
Walau bagaimanapun, Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kelantan Oie Poh Choon yakin perkara itu akan diselesaikan dalam masa beberapa minggu.
"Kami bertemu exco negeri semalam (Khamis) untuk mengemukakan cadangan kami dan mereka bersedia untuk menerimanya," katanya.
Ketua MCA Kelantan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata langkah itu adalah bukti PAS secara perlahan-lahan melaksanakan hudud untuk orang bukan Islam.
"Ini adalah satu keadaan yang menakutkan. Ia menunjukkan PAS benar-benar melaksanakan apa yang mereka katakan. Dan ia jelas menunjukkan tidak kira bagaimana pembangkang cuba untuk meyakinkan kita bahawa hudud tidak akan dilaksanakan ke atas bukan Islam, kata-kata mereka tidak mempunyai kesan," katanya, mengkritik DAP kerana tidak menghalang PAS.
Dr Ng, yang juga Naib Presiden MCA dan Menteri Pelancongan, berkata keputusan itu akan mencemarkan imej negara dan secara salah menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara pelampau.