Pertama respek aku untuk Azizulhasni kerana dia anak watan Dungun Tranung. Kedua kerana semangat juang dia yang tinggi meskipun tubuh kecik je jika nak dibanding dengan para pelumba luar negara. Tetapi itulah dia 'budak besi' yang terkini menjuarai Keirin di Beijing.
Mohd Azizulhasni Juarai Keirin Di Beijing
KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang membuktikan beliau adalah antara pelumba terbaik dunia apabila menjuarai acara keirin pada siri keempat Piala Dunia Klasik di Beijing, China malam Sabtu.
Pelumba itu yang mewakili pasukan profesional Australia, Bike Technologies Australia (BTA), menewaskan lima lagi pelumba termasuk Maximillian Levy yang memenangi pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan di Sukan Olimpik 2008.
Kejayaan itu sekaligus membolehkan Mohd Azizulhasni mengutip 12 mata selaku juara dan berada pada kedudukan pertama di kalangan 24 pelumba dengan mengumpul 22 mata keseluruhan.
Selain itu, ia juga membolehkan Mohd Azizulhasni menyarung jersi putih selaku pendahulu pungutan mata keseluruhan apabila turun beraksi pada Kejohanan Trek Dunia di Denmark pada Mac ini.
Pada pusingan pertama malam ini, pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya memenangi saringan kedua di pusingan pertama sebelum menduduki tempat ketiga pada pusingan kedua.
Tempat ketiga itu bagaimanapun sudah cukup untuk membolehkan pelumba berusia 22 tahun tersebut menempah tiket ke pusingan akhir bersama-sama lima pelumba lain termasuk seorang lagi pelumba negara, Josiah Ng.
Kejayaan yang dicapai Mohd Azizulhasni itu bagaimanapun gagal diikuti Josiah apabila sekadar menamatkan perlumbaan pusingan akhir di tempat keenam dan terakhir.
Kemenangan itu merupakan "hadiah perkahwinan" yang bermakna untuk Mohd Azizulhasni yang bakal menamatkan zaman bujangnya Sabtu depan.
Pada Kejohanan Trek Dunia di Poland tahun lepas, pelumba tersebut gagal menyerlah pada acara keirin namun tetap tidak mengecewakan apabila meraih perak dalam acara pecut 200 meter.
Turut beraksi adalah Mohamad Hafiz Mohamed Sufian yang mencatatkan masa 1 minit 04.688 saat untuk sekadar berpuas hati di tempat ke-14 dalam acara satu kilometer ujian masa manakala Fatehah Mustapa pula di tangga ke-15 dalam acara 500 meter ujian masa.-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment